MEKAH, 7 Jun: Pemasangan khemah di Arafah dilaporkan siap sekitar 80 peratus sebagai persediaan operasi Masyair untuk jemaah haji yang akan berwukuf pada Sabtu depan, 15 Jun 2024 bersamaan 9 Zulhijjah.
Ketua Rombongan Haji Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata setakat ini persiapan berjalan lancar dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh lima hari lagi.
“Khemah-khemah di Arafah dipasang bagi menempatkan 31,600 jemaah haji kita daripada 11 Maktab, termasuk maktab-maktab di bawah pengelolaan Pengelola Jemaah Haji (PJH),” kata Syed Saleh pada Sidang Media Mingguan di Ibu Pejabat TH di sini, hari ini.
Pada awal minggu ini, rombongan pengelola haji Malaysia yang diketuai oleh Syed Saleh telah meninjau tapak-tapak perkhemahan jemaah haji bagi operasi Masyair di Arafah dan Mina.
Menurutnya perkhemahan jemaah Muassasah di Mina pada operasi Masyair tahun ini telah ditambah baik bagi menjamin keselamatan dan keselesaan jemaah haji Malaysia.
Syed Saleh menambah antara penambahbaikan hasil kerjasama Lembaga Tabung Haji (TH) dengan Syarikat Mashariq pada tahun ini adalah seperti penggunaan ‘gypsum board’ sebagai dinding perkhemahan, selain menambah jumlah tandas.
Jelasnya penambahbaikan yang dilakukan itu mempamerkan kesungguhan TH untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada jemaah haji negara melaksanakan ibadah Rukun Islam kelima ini dengan penuh tertib dan sempurna. -TVS