MEKAH, 7 Jun: Dua lagi kematian baharu dilapor melibatkan jemaah haji Malaysia di Tanah Suci Mekah di sini pada Isnin dan Selasa lepas sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan adalah empat orang setakat ini.
Ketua Rombongan Haji Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, mereka yang meninggal dunia berpunca kegagalan buah pinggang, pembuluh darah di perut tersumbat dan kegagalan fungsi organ ekoran jangkitan kuman pada paru-paru.
“Dengan rasa dukacita, kami juga ingin memaklumkan yang kita telah kehilangan dua orang jemaah haji pada 3 dan 4 Jun yang lalu, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak empat orang.
“Kematian ketiga melibatkan jemaah dari Kedah, Ghazali Ahmad 71 akibat kegagalan buah pinggang dan sumbatan pembuluh darah di perut.
“Manakala kematian keempat melibatkan jemaah dari Terengganu, Noormadiah Mat Ali 53, berpunca daripada kegagalan fungsi organ disebabkan jangkitan kuman paru-paru,” katanya pada sidang media mingguan di Ibu Pejabat Tabung Haji di Abraj Janadriyah hari ini.
Syed Saleh berkata, jenazah masing-masing dikebumikan di Tanah Perkuburan Syuhada Al-Haram dan Tanah Perkuburan Syaraiee di Mekah.
Menurutnya, Tabung Haji akan menguruskan badal haji bagi kesemua empat jemaah Malaysia yang meninggal dunia di Tanah Suci setakat ini.
“Segala pembiayaan untuk badal haji ini akan ditanggung oleh Tabung Kebajikan Jemaah Haji Malaysia yang diuruskan Tabung Haji,” ujarnya.
Dalam pada itu Syed Slaleh memaklumkan seramai 52 jemaah haji Malaysia dimasukkan ke Pusat Rawatan TH dan Hospital Arab Saudi.
“Mereka yang dimasukan adalah disebabkan oleh masalah berkaitan pernafasan seperti jangkitan kuman paru-paru dan lain-lain penyakit seperti masalah jantung, gangguan emosi (psikiatri), dan sakit otot dan sendi,” ujarnya lagi.
Tambahnya setakat berita ini ditulis kesemua jemaah yang sedang mendapatkan rawatan dilaporkan dalam keadaan yang stabil. -TVS