BETONG, 5 Jun: Satu projek perumahan baharu serta pusat komersial akan dibangunkan di Bahagian Betong, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Saya sudah berbincang dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu bahawa akan ada satu jalan baharu daripada Sri Aman terus ke Betong. Jalan tersebut akan menemui jalan Pan Borneo ke Betong. Di simpang itu, kita akan membangunkan projek perumahan dan pusat komersial.
“Jadi saya telah luluskan dengan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) tadi untuk kita mulakan projek, kerana di kawasan itu boleh memuatkan 1,000 lot perumahan dan kita akan mulakan secara berfasa,” katanya ketika berucap pada Majlis Ngabang Gawai Dayak Betong 2024 di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan di sini, hari ini.
Dalam masa sama, Abang Johari juga meluluskan RM5 juta untuk pembinaan masjid di Betong.
“Saya memuji usaha Gerald kerana kita hidup dalam pelbagai kaum dan agama serta tidak mengira latar belakang. Kita bantu UNIFOR dan Gerald membantu masyarakat Islam di sini.
“Beliau memohon untuk membina masjid yang boleh memuatkan 1,000 jemaah. Ini adalah perpaduan dan pembangunan modal insan,” katanya lagi. -TVS