Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Residen Bahagian Kuching, Dayang Joanita Azizah Abang Morshidi mengibarkan bendera Sarawak sebagai simbolik pelepasan para peserta Pertandingan Mencandat Suntong di Jeti Terminal Penumpang Taman Negara Bako, diiringi Pegawai Daerah Kuching, Sofhi Jebal hari ini. Foto Aziz Soleh (TVS)

Pesta Suntong Bako bakal jadi acara tahunan

ByNur Suhaida Muliyono

KUCHING, 3 Jun: Pesta Suntong Bako yang julung kali dianjurkan pada tahun ini dirancang untuk dimasukkan dalam kalendar pelancongan dan menjadi acara tahunan di negeri ini.

Residen Bahagian Kuching, Dayang Joanita Azizah Abang Morshidi berkata, dalam masa sama Pesta Suntong Bako 2024 juga merupakan satu peluang untuk mempromosi perkampungan Bako yang merupakan kawasan Sarawak Delta Geopark (SDGp) yang kaya dengan khazanah dan warisan alam semula jadi.

Menurutnya, penganjuran pesta sedemikian jelas menunjukkan komitmen dan usaha Pentadbiran Bahagian Kuching sebagai Pasukan Petugas Pelancongan Bahagian (DTTG) untuk mengangkat industri pelancongan wilayah Sarawak ke satu tahap yang lebih tinggi.

“Pejabat Residen bertanggungjawab terhadap kesedaran dan pendidikan mengenai Sarawak Delta Geopark. Justeru program ini akan menjadi acara tahunan kita dengan yang pertama dianjurkan di Sibu Laut pada 11 Mei, hari ini di sini dan Julai nanti di SMK Paku, Bau.

“Mengambil contoh di Jepun, kanak-kanak dididik sebagai jurupandu. Kita berharap Sarawak dapat mengikut jejak langkah itu. Kita tidak hanya fokus kepada lepasan sekolah tetapi juga anak-anak kecil,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum melancarkan gimik pelepasan para peserta Pesta Suntong Bako 2024 di Terminal Penumpang Taman Negara Bako di sini, hari ini.

Pesta yang melibatkan enam buah kampung di sekitar kawasan tersebut secara tidak langsung membuka peluang kepada penduduk setempat memperkenalkan budaya dan cara hidup tempatan melalui pelbagai aktiviti dan persembahan sepanjang pesta berlangsung, selain mempamer dan menjual hasil laut segar kepada para pengunjung.

Tambah Dayang Joanita, sekiranya pesta tersebut diiktiraf sebagai acara tahunan, beliau berharap skala penyertaan juga dapat diperluas sehingga ke peringkat antarabangsa.

Untuk rekod, Pertandingan Mencandat Suntong turut diadakan sempena Pesta Suntong Bako 2024 yang mempertandingkan dua kategori iaitu Kategori Suntong Terpanjang dan Kategori Berat Terkumpul yang menyaksikan johan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, tempat kedua RM700 dan tempat ketiga RM500. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan