KUCHING, 3 Jun: Seramai 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya disekat masuk oleh Tentera Darat Malaysia (TDM) di Sektor Pos GABMA Biawak dekat sini hari ini.
Sel Perhubungan Raya Markas 1 Divisyen, TDM memaklumkan semasa sedang melakukan rondaan, anggota tentera terserempak mereka yang sedang berjalan daripada arah sempadan Indonesia.
Rondaan itu dilakukan sepasukan anggota TDM dan Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Darat (TNI-AD) berdekatan lorong tikus iaitu jarak kira-kira 200 meter dari sempadan Indonesia pada 12.30 tengah hari.
“Anggota ronda tentera menahan dan membuat pemeriksaan terhadap 10 orang PATI. Hasil temu siasat mendapati kesemua PATI dalam perjalanan untuk bekerja di Malaysia (kontrak/ladang),” kata Sel Perhubungan Raya menerusi kenyataan, hari ini.
Hasil daripada penahanan dan pemeriksaan terhadap 10 orang PATI dalam lingkungan umur 18 hingga 30 tahun tersebut mendapati tiada barang terlarang serta berbahaya dijumpai, kata kenyataan itu lagi.
Anggaran nilai keseluruhan barangan yang diperiksa adalah berjumlah RM11,430.00, melibatkan wang tunai, telefon bimbit, beg dompet dan beg pakaian.
Kesemua PATI berkenaan dibawa ke sempadan negara untuk pengusiran. Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Lundu bagi menentukan tindakan pengusiran dibuat dengan betul mengikut peraturan semasa.
Sehubungan itu, Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Fauzi Kamis merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua anggota di bawah naungannya.
“TDM akan terus komited untuk memperketatkan kawalan di persempadanan Malaysia Indonesia bagi memastikan kedaulatan negara terus terpelihara dari sebarang bentuk pencerobohan PATI, kegiatan penyeludupan mahupun jenayah rentas sempadan,” katanya.