Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ketua Rombongan, Haji Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berucap pada Majlis Perhimpunan Petugas Haji musim Haji 1445H di Ibu Pejabat TH di sini, pada Ahad. Foto Zen Hashim (TVS)

Ketua Rombongan TH suntik semangat petugas, ikrar santuni Duyufurrahman

ByLuqman Muhammad

MEKAH, 3 Jun: Lembaga Tabung Haji (TH) komited mempertahankan pengiktirafannya sebagai badan pengendali haji terbaik dunia, kata Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Katanya, dalam memastikan kecemerlangan tersebut dapat dicapai kerjasama kesemua sektor petugas haji dituntut, sekali gus memberikan perkhidmatan yang terbaik dalam menyantuni 31,600 Duyufurrahman (tetamu Allah).

“Saya mengajak semua petugas haji semua sektor dan unit segarkan kembali ikrar kita semasa di tanah air. Perjalanan kita belum berakhir, perjuangan kita belum selesai dan amanah murni ini masih perlu digalas dengan penuh dedikasi dengan pengorbanan masa dan tenaga.

“Kita impikan tahun ini menjadi tahun terbaik perkhidmatan kepada jemaah haji dengan menjadikan perjalanan jemaah haji kali ini sebagai perjalanan yang paling indah,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Petugas Haji Musim Haji 1445H di Ibu Pejabat TH di sini, pada Ahad.

Katanya lagi, kualiti dan imej TH harus dipertingkatkan dan tidak mudah berasa selesa dengan apa yang telah dicapai.

Dalam pada itu, katanya, hubungan baik dengan pemerintah Arab Saudi dan kerajaan Malaysia harus diperkukuh dan dimanfaatkan.

“Marilah kita sama-sama berdoa agar pengorbanan, penat lelah dan usaha murni kita dikurniakan keberkatan kerana Allah SWT menyukai hambaNya yang bekerja keras namun tetap taat kepada perintahNya.

“Yakinlah, bahawa kerja kita sangat bernilai di sisi Allah SWT. Ini adalah saat terpenting dalam sejarah kehidupan kita, kerana kita tidak akan selalu berada di Tanah Suci dan berbuat bakti kepada Dhuyufurrahman.

“Jangan kita berpaling dan mensia-siakan peluang untuk menyantuni Dhuyufurrahman. Mungkin ini peluang kali terakhir, maka buatlah yang terbaik,” katanya lagi.

Untuk rekod seramai 600 petugas TH digerakkan ke Arab Saudi pada musim haji tahun ini, bagi memudahkan urusan jemaah haji Malaysia.

Antaranya adalah pengurusan maktab dan zon, kesihatan, bimbingan ibadat haji dan ziarah, kewangan, media, sajian, bagasi, khidmat pelanggan dan lain-lain pusat perkhidmatan. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan