KUCHING, 2 Jun: Syarikat pembekal tenaga bersih dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), Abu Dhabi Future Energy Company PJSC (MASDAR) akan mempertimbangkan saranan menggunakan panel solar bertingkat, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Sarawak guna pendekatan muraqabah, sesuaikan pembangunan ekonomi dengan perubahan iklim
Premier Sarawak itu berkata, ketika pertemuan beliau dengan Ketua Pegawai Eksekutif MASDAR, Mohamed Jameel Al Ramahi baru – baru ini, syarikat gergasi tenaga boleh baharu global itu menyatakan hasrat untuk melabur dalam sektor tenaga solar di empangan hidro Sarawak melalui panel solar terapung.
“(Namun) saya beritahu beliau (Mohamed Jameel) solar tak semestinya terapung (dan saya cadangkan) kenapa tidak gunakan panel bertingkat di atas tanah? Jadi boleh hasilkan makanan dengan kegiatan pertanian di bawah panel.
“Jameel berkata beliau akan membincangkan perkara itu bersama pemerintah Wilyah Sharjah agar dapat menggunakan idea ini di sana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Perhimpunan Perwakilan Tiga Tahun Sekali Harakah Islamiyah (HIKMAH) ke-21, di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC) di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, pada awalnya MASDAR ingin melaksanakan projek panel solar di Sharjah namun mendapat tentangan daripada Kerajaan UAE melainkan tenaga itu dapat digunakan untuk menghasilkan makanan.
Sebelum ini, Mohamed Jameel berkata, mereka berkeupayaan melabur dalam projek berkaitan ekonomi hijau berimpak tinggi.
Mengulas mengenai perkara tersebut, Abang Johari mendedahkan satu kawasan telah dikenal pasti bagi pelaburan tersebut.
Beliau berkata kawasan itu mungkin menjanakan 100,000 megawatt (MW) tenaga hijau melalui hidro. -TVS