BINTULU, 2 Jun: Kemeriahan sambutan Gawai bertukar suram buat penghuni Rumah Panjang Ugop Anak Umpin, Nanga Sigu apabila kesemua 43 pintu kediaman berkenaan musnah terbakar malam tadi.
Kebakaran mengakibatkan 325 penghuni hilang tempat tinggal.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan pada 12.41 malam.
Susulan itu katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu digerakkan ke lokasi kejadian.
“Lokasi kebakaran berada di kawasan pedalaman sejauh 147 kilometer (km) dari Bandar Bintulu dan anggota kita mengambil masa lebih kurang tiga jam untuk sampai menggunakan jalan darat,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Tambah PGO, kebakaran memusnahkan hampir keseluruhan struktur bangunan.
“Kesemua keluarga tidak mempunyai tempat berlindung dan dicadangkan supaya mereka ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Sigu yang jaraknya lebih kurang 300 meter dari lokasi kebakaran,” kata PGO.
Anggaran kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan. – TVS.