IPOH, 2 Jun: Sebanyak 26 buah motosikal yang diubah suai disita dalam Operasi Bersepadu Samseng Jalanan di Jalan Pasir Puteh, Station 18 di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner (ACP) Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan ke atas 112 buah motosikal dan 110 orang berusia 14 hingga 36 tahun menerusi operasi itu.
“Sebanyak 26 buah motosikal disita kerana kesalahan mengubah suai aksesori dan struktur mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 selain 257 saman dikeluarkan.
“Seramai empat orang turut ditahan kerana menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya mengikut Seksyen 42(1) akta sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujar beliau, operasi berkenaan membabitkan 53 anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM), 16 sukarelawan polis dan enam dari Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK). – TVS