SERIAN, 2 Jun: Sambutan Hari Gawai di Kampung Taee semalam berlangsung dengan lebih meriah apabila upacara perarakan turut disertai pelancong asing.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada berkata, berikutan keunikan sambutan di sini, acara berkenaan berpotensi untuk disenaraikan dalam kalendar acara pelancongan Sarawak.
“Saya percaya setiap negara yang berjaya dalam industri pelancongan kerana terdapat empat aspek utama.
“Pertama adalah budaya (dan di Sarawak) setiap tahun kita meraikan budaya dengan memakai pakaian berwarna-warni dan menyertai perarakan yang melambangkan identiti dan budaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perarakan Gawai Taee di sini semalam.
Sementara itu Simon Sinang berkata, selain tradisi unik perarakan oleh etnik Bidayuh yang menjadi tarikan pelancong, kawasan berkenaan juga memiliki pelbagai tarikan lain.
“Perkara kedua yang menarik minat pelancong ialah penggembaraan. Di Tebedu, kita mempunyai beberapa acara larian termasuk Ultra Run yang berlangsung bulan lalu. Seterusnya ialah Eco Trail Run yang akan berlangsung November ini,” katanya.
Tambahnya, aspek lain yang menyumbang kepada pelancongan yang rancak turut berkait dengan alam sekitar dan makanan.

Kata beliau,tajaan oleh Pepsi pada tahun ini dilihat menambah kemeriahan acara tradisi di kampung itu.
“Apabila orang melakukan kebaikan, anda harus menerimanya. Jadi, kepada Pepsi, terima kasih kerana menjayakan perarakan Gawai Taee ini,” katanya lagi.

Tradisi Perarakan Gawai Taee diadakan setiap tahun dan melibatkan laluan di enam zon kampung berkenaan.
Semasa perarakan itu, pengunjung bukan sahaja dihiburkan dengan persembahan seni dan budaya masyarakat Bidayuh malah turut singgah di beberapa rumah yang menyediakan makanan dan minuman. – TVS