MAKKAH, 2 Jun: Kerajaan Arab Saudi menguatkuasakan hukuman lebih tegas bagi kesalahan menggunakan visa tidak sah untuk mengerjakan haji.
Ini termasuk mengenakan denda mencecah SR10,000 (Saudi riyal) atau RM12,549 serta diusir ke negara asal.
Ketua Rombongan Haji Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi telah memaklumkan kepada semua Ketua Rombongan Haji di sini berhubung perkara itu.
“Semua Ketua Rombongan Haji perlu melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya ada individu yang melanggar peraturan haji dan dinasihatkan tidak membantu pergerakan atau penginapan mereka yang tiada visa haji sah,” katanya pada sidang media mingguan di sini, baru-baru ini.
Syed Saleh berkata, sekiranya mereka tidak mematuhi notis baharu ini, ianya akan memberi kesan terhadap operasi haji sesebuah negara.
“Ini adalah satu mesej yang sangat jelas dan saya juga telah dimaklumkan tentang beberapa operasi yang telah dijalankan oleh pihak berkuasa Arab Saudi terhadap mereka yang tiada visa atau permit haji yang sah.
“Ini termasuklah penangkapan, pemeriksaan di hotel-hotel dan laluan ke masjid serta pemeriksaan melibatkan bas dinaiki oleh jemaah haji,” katanya.
Sehubungan itu beliau menyeru kepada semua petugas dan jemaah haji supaya memandang serius perkara ini dan mematuhi arahan dan undang-undang yang dikuatkuasakan oleh Kerajaan Arab Saudi. I
“Kepada jemaah haji Malaysia, pastikan anda sentiasa membawa kad Nusuk dan jaga dengan baik demi kelancaran ibadat haji kita,” katanya lagi.-TVS.