KUCHING, 1 Jun: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi berkunjung ke kediaman mantan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang di sini, sempena perayaan Hari Gawai yang disambut hari ini.
Ketibaan Tun Wan Junaidi dan isteri pada 1:40 petang tadi disambut mesra oleh keluarga Jabu.
Kunjungan turut dimeriahkan dengan kehadiran Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang yang terlebih dahulu tiba pada jam 1:20 petang.
Pada kunjungan sekitar satu jam 30 minit itu, Tun Wan Junaidi dan Abang Johari meluangkan masa beramah mesra serta menikmati hidangan bersama tokoh veteran politik Sarawak itu yang merupakan TKM paling lama dalam sejarah pentadbiran negeri ini dengan berkhidmat dari 1974 hingga 2016.
Kunjungan rumah terbuka itu turut disertai Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri,Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63, dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak. – TVS