KUCHING, 1 Jun: Sepasukan anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menunggu pemandu lori yang penuh muatan rokok dipercayai diseludup hampir satu jam, namun tiada sesiapa yang muncul di lokasi serbuan.
Pengarah Kastam Negeri Sarawak Norizan Yahya berkata semasa pemeriksaan ke atas lori, tiada wakil atau pemilik barang berada di tempat kejadian.
“Pasukan (kastam) telah menunggu hampir satu jam namun tiada individu yang tampil mengaku sebagai pemandu lori atau pemilik barang-barang tersebut,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Jumlah barang yang disita adalah 1,200,000 batang rokok dan sebuah lori dengan angaran nilai RM405,000.00 dan anggaran jumlah duti dan cukai yang terlibat adalah sebanyak RM828,000.00.
Jumlah nilai keseluruhan barangan termasuk duti dan cukai adalah RM1,233,000.00.
Menurutnya, pada 28 Mei, lebih kurang 2.30 petang, sepasukan anggota daripada Unit Operasi Darat Kuching membuat serbuan di sebuah lokasi terletak di Demak Laut, di sini.
Modus operandi sindiket adalah menggunakan laluan di kawasan terpencil dan tidak menggunakan jalan utama sebagai laluan pengedaran bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa sebelum diedar ke pasaran sekitar.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967 di mana jika sabit kesalahan pesalah boleh didenda tidak melebihi RM500,000.00 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali. – TVS