MEKAH, 30 Mei: Lembaga Tabung Haji (TH) melantik dua syarikat perkhidmatan penghantaran barangan jemaah haji ke Malaysia bagi operasi musim haji tahun ini.
Pengurus Khidmat Luar TH, Zahari Zainal berkata TH telah menempatkan dua syarikat penghantaran tersebut di salah satu setiap 12 hotel penginapan jemaah haji Malaysia di Mekah.
“Kita juga mahu syarikat ini ada maklumat yang lengkap terutama nombor telefon dan pegawai yang perlu dihubungi.
“Pada tahun ini, TH luluskan dua syarikat iaitu Pos Malaysia Berhad dan FGV Transport Services. Kita letak salah satu di setiap 12 tempat penginapan.
“Dan caj yang telah ditetapkan adalah sekilo 18SAR (untuk Semenanjung Malaysia) dan 23SAR (Sabah/Sarawak),” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Tabung Haji Mekah di sini, pada Rabu.
Dalam pada itu, Zahari berkata sekiranya berlaku kerosakan barangan ketika dihantar, pihak TH turut menyediakan insurans Takaful.
“Sebab itu kita menguar-uarkan kepada semua untuk menggunakan perkhidmatan yang disediakan TH berbanding perkhidmatan luar kerana jika berlaku apa-apa, TH tidak akan bertanggungjawab,” kata Zahari lagi.
Katanya lagi, kedua-dua syarikat tersebut akan menyediakan kotak berbayar mengikut saiz dan petugas akan memastikan tiada barangan larangan dihantar menerusi perkhidmatan tersebut.
“Apa yang selalu dihantar oleh jemaah adalah seperti kurma, kacang, sejadah, jubah dan pelbagai lagi.
“Kalau air zam-zam tidak boleh dihantar kerana terikat dengan peraturan Arab Saudi,” ujarnya lagi. -TVS