KUALA LUMPUR, 30 Mei: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) telah menjalin kerjasama strategik dengan China Petrochemical Corporation (Sinopec) untuk meneroka peluang memacu pertumbuhan dan inovasi merentas rantaian nilai tenaga.
Petronas dalam satu kenyataan berkata kerjasama itu menunjukkan komitmen syarikat dalam memastikan bekalan tenaga berdaya tahan dan mampu milik untuk memupuk pertumbuhan ekonomi serta pembangunan di rantau Asia Pasifik, pada masa sama mempercepatkan peralihan kepada ekonomi rendah karbon.
“Kerjasama itu akan memberi tumpuan kepada pertumbuhan mampan dalam bidang komoditi dan kimia, minyak mentah dan perdagangan gas asli cecair serta pelincir dan penyelesaian digital.
“Ia juga akan memberi tumpuan kepada memacu usaha penyahkarbonan untuk pelbagai industri seperti pengangkutan, perkapalan, pembuatan, penerbangan dan kuasa sekali gus membolehkan kedua-dua pihak mengurangkan jejak karbon mereka sekali gus kekal berdaya saing,” katanya. -TVS