BINTULU, 30 Mei: Orang ramai yang ingin pulang ke kampung halaman masing-masing sempena sambutan Hari Gawai diingatkan merancang perjalanan dengan baik serta meninggalkan kediaman dalam keadaan yang selamat.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Nixon Joshua Ali berkata, persediaan kenderaan juga harus dibuat dengan pemeriksaan seperti keadaan tayar, enjin, brek dan lain-lain.
“Ini bagi mengelakkan berlaku kerosakan kenderaan semasa memandu kerana boleh mengakibatkan kemalangan jalan raya.
“Selain itu, pemandu juga dinasihatkan untuk merancang perjalanan dan berehat sekiranya mengantuk dan letih,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, orang ramai harus sentiasa peka kepada keadaan Lebuhraya Pan Borneo yang baharu siap dibina dan tidak melanggar peraturan dan tanda keselamatan jalan yang disediakan.
“Bagi yang meninggalkan rumah kediaman dinasihatkan untuk memeriksa keselamatan rumah terlebih dahulu terutamanya mematikan suiz-suiz elektrik yang tidak digunakan, mengunci pintu dan tingkap sepenuhnya.
“Orang ramai juga boleh mengisi borang balik kampung di balai terdekat atau secara online melalui Aplikasi VSP supaya rondaan berkala akan dibuat oleh pihak polis,” ujarnya.
Sebarang kecemasan boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Bintulu di talian 086-318304. – TVS