KUCHING, 29 Mei: Kira-kira 10,000 tan tayar terpakai dikumpul Syarikat ZHA Sdn Bhd dalam tempoh 10 tahun bermula 2003 hingga 2013 di seluruh Sarawak.
Pengarahnya, Robert Yong berkata tayar yang dikumpul mereka dilupuskan dengan cara yang tidak mencemarkan alam sekitar.
“Ia meningkat sepanjang tahun apabila kami mula beroperasi sehingga hari ini secara purata kami telah mengumpul sekitar 1,000 tan setahun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak di sini, hari ini. Hadir sama, Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Tiong Ling Hii.
Zha Sdn Bhd diberikan lesen untuk tempoh 25 tahun oleh kerajaan Sarawak untuk melaksanakan program pengurusan sisa tayar terpakai di seluruh Sarawak sejak 2013.
Robert berkata lagi, tayar terpakai yang dikumpul akan dikitar semula bagi menghasilkan produk getah kitar semula seperti butiran getah kitar semula, SBR prabersalut dan jubin getah.
Produk kitar semula digunakan secara meluas pada lantai taman permainan dan rumput bola sepak tiruan sekali gus membawa pembangunan mampan ke arah persekitaran kehidupan.
Sehubungan itu, Pengawal Kualiti Alam Sekitar Sarawak, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB), Jack Liam berkata orang ramai perlu memberi kerjasama memelihara kualiti alam sekitar dengan membuang tayar terpakai dengan syarikat itu.
“Zha Sdn Bhd mempunyai kaedah dan pengurusan pelupusan tayar yang betul untuk mengurangkan kesan buruk terhadap alam sekitar hasil daripda pelupusan tayar terpakai,” katanya.