GEORGE TOWN, 28 Mei: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan memperluaskan program Advokasi Kanak-kanak: Kasih Kanak-kanak ke 300 buah sekolah di seluruh negara tahun ini dan tahun hadapan.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, program itu penting sebagai usaha menyampaikan mesej kesedaran isu penderaan kepada kanak-kanak.
Jelas beliau, setakat ini KPWKM telah melaksanakan 30 peratus daripada sasaran itu yang turut mendapat respon baik daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
“Bukan sahaja pelajar, malah orang dewasa, guru kaunselor di sekolah dan masyarakat kampung yang kadang-kadang dijemput bersama juga dapat mempelajari sesuatu (terutamanya) bagaimana mereka hendak bertindak.
“Kita ada booth untuk tunjuk kesan-kesan kalau berlaku sesuatu (terutama) kalau anak nakal atau sesiapa sahaja nakal, ada pihak polis dan penjara di situ untuk tunjuk bagaimana hukuman dilaksanakan.
“Jadi, di situ keberkesanan (program) dapat kita lihat apabila ada permintaan (pelaksanaan) yang dibuat kepada kementerian kita,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Persidangan Pembangunan Awal Kanak-kanak Peringkat Asia Pasifik 2024 di sini.
Sementara itu, Nancy berkata, Kasih Kanak-kanak berperanan menyampaikan mesej melalui ceramah dan pameran untuk menghadapi kes penderaan dan tentang hak-hak mereka.
Katanya, program itu memberi penekanan mengenai kepentingan Talian Kasih 15999 kepada kanak-kanak sekiranya sebarang kejadian buruk menimpa diri mereka.
Program yang dilancarkan lima tahun lalu itu telah dilaksanakan di sekolah-sekolah menengah dan rendah membabitkan lima negeri iaitu Kuala Lumpur, Sabah, Sarawak, Kelantan dan Selangor.
Ia akan diperluaskan ke Melaka dan Negeri Sembilan sebelum ke negeri-negeri lain. -TVS