MEKAH, 27 Mei: Unit Pergigian Tabung Haji (TH) komited dalam menyediakan perkhidmatan pergigian yang terbaik dalam menyantuni Duyufurrahman (tetamu Allah) sepanjang operasi musim haji tahun ini.
Pegawai Pergigian Dr Umairah Razali berkata meskipun unit mereka terhad dengan kekuatan tiga petugas sahaja, mereka tetap beriltizam membantu jemaah haji mendapatkan rawatan sama seperti perkhidmatan yang diberikan di tanah air.
“Bagi saya perkhidmatan di sini lebih kurang sama dengan perkhidmatan di tanah air. Di sini kita utamakan rawatan kecemasan dan berdasarkan janji temu kerana kita perlu menyediakan kenderaan untuk mengambil jemaah dari maktab penginapan sebelum mendapatkan rawatan di sini,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Rawatan Tabung Haji (TH) di Mekah, baru-baru ini.
Katanya lagi, mereka menerima lebih 40 jemaah haji yang datang untuk mendapatkan rawatan selepas seminggu unit tersebut beroperasi dengan purata rawatan enam pesakit sehari.
Menurutnya, kebanyakan jemaah ke klinik itu disebabkan masalah tampalan gigi yang tercabut kerana makan makanan yang keras.
“Ada juga jemaah semasa datang ke Tanah Suci, gigi dah goyang dan disebabkan penat berjalan jauh, ia menambahkan lagi sakit pada gigi.
“Ada juga yang demam ketika datang membuat rawatan dan setelah pemeriksaan kesihatan mulut dilakukan kita dapati ada gigi rosak. Jadi kita akan bagi rawatan yang diperlukan,” katanya.
Dalam pada itu Dr Umairah Razali yang berkhidmat di Klinik Pergigian Sungai Besar, Selangor menasihati jemaah haji supaya sentiasa menjaga kesihatan serta kebersihan diri termasuk mulut sepanjang berada di Tanah Suci bagi membolehkan jemaah kekal fokus untuk beribadah terutama menjelang hari-hari kemuncak ibadah haji nanti.
Dr Umairah Razali diberikan tanggungjawab mengetuai unit itu dan dibantu oleh Pembantu Pembedahan Pergigian Meor AlHafiz Abd Halim dan Juruterapi Pergigian Nur Syuhana Samsudin. – TVS