KUCHING, 27 Mei: Seramai 726 calon SPM 2023 daripada 32,588 calon di Sarawak memperoleh keputusan cemerlang gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran.
Pengarah Pendidikan Sarawak, Datu Dr Azhar Ahmad berkata jumlah ini menunjukkan peningkatan 0.15 peratus berbanding 684 calon pada 2022.
“Bilangan calon yang memperoleh sekurang-kurangnya kepujian atau gred C dalam semua mata pelajaran adalah seramai 6,132 calon (18.81 peratus) pada 2023 berbanding 5,482 calon (16.7 peratus) pada 2022.
“Seramai 12,774 calon (39.20 peratus) telah memperoleh sekurang-kurangnya lulus atau gred E semua mata pelajaran yang diduduki pada 2023 berbanding 12,464 calon (37.99 peratus) pada 2022,” katanya pada sidang media mengumumkan keputusan SPM 2023 di sini, hari ini.
Azhar berkata lagi, Gred Purata Negeri (GPN) bagi Sarawak meningkat 0.15 mata dengan merekodkan 4.92 mata berbanding 5.07 mata pada tahun lepas.
Berdasarkan GPN, pencapaian calon luar bandar meningkat 0.16 mata iaitu 4.54 mata pada 2023 berbanding 4.70 mata pada 2022.
Pencapaian luar bandar juga meningkat 0.14 mata iaitu 5.18 mata pada 2023 berbanding 5.32 mata pada 2022.
Beliau berkata, SPM 2023 mempamerkan prestasi turun naik mata pelajaran.
“Sebanyak 47 daripada 78 mata pelajaran telah mencatatkan peningkatan berbanding hanya 38 mata pelajaran pada tahun lalu,” katanya.