MEKAH, 27 Mei: “(Petugas Lembaga) Tabung Haji beritahu suami saya sudah tiada.”
Demikian reaksi isteri kepada jemaah haji Malaysia selepas menerima perkhabaran suaminya, Abnil Hajar Ismail, 72, meninggal dunia di Tanah Suci Mekah pada Jumaat lepas.
Sa’diah Bakar, 72, yang juga jemaah haji pada musim ini seolah-olah hilang kata-kata apabila pemergian suaminya berlalu tanpa sebarang petanda dan pesan.
“Petang itu arwah ada keluar lagi dengan saya, selepas itu pada pagi arwah ada mengatakan bahawa badan arwah lenguh.
“Pagi dia kata lenguh dan malam sudah tidak ada,” kata Sa’diah ketika ditemui pemberita di sini, lewat malam Isnin.
Katanya lagi Allahyarham suaminya merupakan seorang yang pendiam dan rajin ke masjid untuk mengikuti segala aktiviti pengimarahan masjid.
“Dia orang biasa saja, tetapi lima waktu tak tinggal dekat masjid,” kongsinya lagi.
Berkongsi lanjut, Sa’diah memaklumkan mereka mendirikan rumah tangga ketika berusia 18 tahun dan telah dikurniakan empat orang anak perempuan dengan lapan orang cucu.
Dalam pada itu Pengurus Maktab 79, Al’Amin Jaminon berkata rakan sebilik Allahyarham juga sempat memohon agar tilamnya ditukar selepas Allahyarham sering mengadu sakit belakang.
“Saya sering berkomunikasi dengan rakan sebilik ada sembilan orang terdiri daripada yang muda dan warga emas.
“Apa yang berlaku dua hari sebelum pemergiaan beliau, salah seorang rakan sebilik arwah tanya ada yang minta tukar tilam sebab dia mengadu sakit belakang .
“Saya kata okay sahaja, boleh tukar tilam dan malam itu rakan-rakan sebiliknya bergurau kata sekarang Pak Lang boleh tidur lena dengan tilam baru yang lebih lembut,” kongsinya.
Pada Jumaat lepas, Abnil meninggal dunia di sebuah hospital di Mekah akibat pembuluh darahnya pecah.
Jemaah haji yang berasal dari Jitra, Kedah itu disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital pada 10.30 malam dan telah dikebumikan pada 5.22 pagi di Tanah Perkuburan Al- Sharaya. -TVS