Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata sektor berkenaan amat terdedah kepada rasuah antaranya melibatkan projek pembinaan jalan dan bangunan serta kenaikan harga kos dalam kontrak kerajaan. Foto fail: Bernama

Kontrak kerajaan Selangor tiada kaitan dengan Hannah – SPRM

ByBernama

KUALA LUMPUR, 27 Mei: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melihat pemberian kontrak projek rintis Demand Responsive Transit (DRT) oleh kerajaan Selangor tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata setakat ini tiada sebarang kesalahan mengikut undang-undang susulan pemberian kontrak terbabit kepada suami Hannah.

“Kita melihat dari segi undang-undang apabila seseorang itu mendapat kontrak atau manfaat daripada mana-mana entiti kerajaan, tetapi yang mendapat (kontrak) itu tiada kena mengena dengan tugas dan tanggungjawab (pihak yang dibangkitkan)… itu bukan kesalahan.

“Contohnya seperti yang dilaporkan media mengenai suami Hannah Yeoh yang mendapat kontrak daripada Selangor dan menteri itu tiada kaitan dengan kerajaan negeri.

“… tetapi ia berlainan sekiranya KBS (Kementerian Belia dan Sukan) yang memberi kontrak itu kepada syarikat berkenaan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola Penyelarasan dan Pengurusan Aset Tenaga Elektrik Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga Datuk Abdul Razib Dawood dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan.

Minggu lepas, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor Ng Sze Han menyatakan Asia Mobility Technologies Sdn Bhd ialah satu daripada dua syarikat yang dipilih untuk projek perintis DRT.

DRT merupakan inisiatif kerajaan negeri untuk meningkatkan keberkesanan perkhidmatan pengangkutan awam dan mobiliti di Selangor.
Dalam perkembangan lain, Azam berkata pihaknya masih belum menerima notis pengisytiharan harta oleh dua anak bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata pihaknya menerusi pegawai penyiasat sedang melaksanakan perbincangan dengan peguam kepada Tan Sri Mohkzani dan Mirzan bagi mendapatkan tempoh masa untuk melaksanakan notis terbabit.

“Tak silap saya belum terima (pengisytiharan harta) tetapi baru-baru ini ada perbincangan antara pegawai penyiasatan dan peguam untuk memperincikan tempoh masa berkenaan,” katanya.

Azam sebelum ini mendedahkan bahawa Dr Mahathir antara individu berprofil tinggi yang disiasat SPRM berhubung pengisytiharan harta yang mendorong kedua-dua anak beliau, Mirzan dan Mohkzani diberi notis untuk mengisytiharkan harta dalam tempoh yang dinyatakan dalam notis di bawah Seksyen 36 Akta SPRM 2009. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan