ENGKELILI, 27 Mei: Kerjasama erat dalam kalangan parti-parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) membuahkan kejayaan meskipun menempuh pelbagai cabaran.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata setiap cabaran dihadapi GPS dalam semangat permuafakatan.
“Bak kata pepatah bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Begitu juga dalam kalangan parti komponen yang bermuafakat sewaktu menghadapi kesukaran.
“GPS sentiasa bersiap sedia menghadapi pilihan raya yang akan datang dan SUPP sedang giat turun padang,” katanya pada Majlis Penutupan Karnival Lubok Antu 2024 di Dataran Rusa Engkelili, malam tadi.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan Naib Presiden SUPP, Datuk Ding Kuong Hiing.
Dr Sim berkata lagi, setiap parti GPS sentiasa menjalankan aktiviti di kawasan secara berterusan dan ia tidak hanya dilakukan secara bermusim.
Ini bagi memastikan rakyat menerima perkhidmatan terbaik, terutama dalam menyelesaikan sebarang permasalahan.
Sarawak memerlukan sebuah kerajaan yang kukuh bagi menjamin pembangunan dari semua aspek.
“Di bawah kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pelbagai usaha dilakukan termasuk menuntut hak Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963,” katanya. – TVS