ENGKELILI, 25 Mei: Produk pelancongan di kawasan Lubok Antu berpotensi menarik kedatangan lebih ramai pelancong sejurus Lapangan Terbang Spaoh siap dibina kelak, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Menurut beliau perkara itu akan dibincangkan pihaknya bersama wakil rakyat di kawasan berkenaan bagi mengenal pasti potensi produk pelancongan di sini.
Uggah mencadangkan pembinaan semula replika Kubu Rentap antara produk pelancongan yang akan diketengahkan selain memperkenalkan lagi tempat menarik lain seperti empangan hidroelektrik dan Batu Nabau.
“Saya akan buat rundingan bersama Ahli Parlimen kita di sini sebab Betong akan ada Lapangan Kapal Terbang Spaoh yang dari sana ke kawasan Lubok Antu tidak jauh jadi kita perlu sama-sama mengatur produk pelancongan seperti Batu Nabau.
“Untuk Kami di Betong untuk kembangan sektor pelancongan salah satunya adalah projek pembinaan semula replika Kubu Rentap dan ianya adalah harta kita sama dari Skrang dari ulu layan untuk kita tarik pelancong ke kawasan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membuat ucapan perasmian semasa Majlis Perasmian Karnival Lubuk Antu 2024 di Dataran Rusa Engkelili pada Sabtu.
Tambahnya lagi kekayaan budaya di Kawasan Lubok Antu seperti tarian tradisional, pakaian Iban dan hasil kraftangan yang menarik perlu diperbanyakkan lagi sebagai tarikan kepada pelancong yang akan semakin ramai datang.
Ujarnya lagi ini akan dapat menambah pendapatan masyarakat melalui aktiviti ekonomi yang semakin meningkat dibantu dengan adanya laluan penghubung yang semakin bertambah baik. -TVS