MUKAH, 25 Mei: Lebih 1,000 delegasi dari luar negara akan berkampung di Bandaraya Kuching pada Persidangan ASEAN tahun 2025, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurut beliau barisan deligasi itu termasuk dari Korea, Jepun dan China.
“Malaysia adalah pengerusi pada Persidangan ASEAN 2025 nanti, jadi saya diberitahu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa satu mesyuarat besar akan diadakan di Kuching melibatkan menteri luar dan rakan-rakan dari Korea, Jepun dan China.
“Lebih 1,000 delegasi akan datang ke Kuching, dan kita boleh pamerkan kebudayaan di Mukah serta artisan di sana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kompleks Kebajikan Dalat (KKD) di sini, hari ini.
Untuk rekod, KKD yang menelan belanja RM12.5 juta telah siap sepenuhnya pada 5 September 2020.
KKD merupakan kompleks kebajikan kedua di Sarawak selepas kompleks yang pertama di Sri Aman.
Kompleks ini juga mempunyai pelbagai fungsi antaranya Pejabat Kebajikan Dalat, Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) bagi Pusat Rehabilitasi dalam Komuniti, Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dan Taska Orang Kelainan Upaya (OKU). -TVS