MUKAH, 25 Mei: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan sebuah jalan raya baharu yang akan menghubungkan Daerah Dalat ke Bahagian Sibu akan dibina.
Inisiatif itu menurut beliau bakal menyingkatkan tempoh perjalanan iaitu kira-kira 2 jam 30 minit kepada hanya satu jam sahaja.
“Kita akan menghubungkan Dalat melalui satu jalan baharu yang akan bertemu kepada jalan Batang Igan, Bawang Assan ke Sibu iaitu satu jam perjalanan sahaja.
Saya telah memberi peruntukkan untuk membina jalan tersebut di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR), mungkin dalam masa tiga tahun baru siap ini termasuk juga bekalan air dari Kuala Rajang saya akan luluskan,” katanya ketika berucap merasmikan Kompleks Kebajikan Dalat (KKD) di sini, hari ini.
Dalat merupakan sebuah pekan kecil yang terletak di tepi Batang Oya, Sarawak.
Terletak di dalam bahagian Mukah, Sarawak pekan ini kian hari berubah wajah dengan pelbagai pembangunan yang terdapat di kawasan itu.
Antaranya termasuklah BazarNita Fatima Dalat, Dalat Waterfront, dan terbaharu Hotel Butik Dalat yang akan mula dibina pada pertengahan tahun 2025. -TVS