KUCHING, 24 Mei: Syarikat penerokaan minyak dan gas antarabangsa, Kuwait Foreign Petroleum Exploration Company (KUFPEC) mengintai peluang kerjasama dengan Sarawak dalam industri berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif KUFPEC, Mohammad Salem Al-Haimer berkata perjumpaan beliau dengan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada sesi kunjungan hormat hari ini mendapat respon positif mengenai peluang kerjasama itu.
“Maklum balas positif yang kami terima daripada PETROS dan Premier sangat memberi galakan kepada kami. Kami juga akan menjadi sebahagian daripada sejarah penerokaan minyak dan gas terbesar negara iaitu projek Lang Lebah.
“Saya melihat ini sebagai satu perkara yang sangat menarik, justeru kami berbesar hati untuk melabur lebih banyak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Abang Johari di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.
KUFPEC merupakan entiti penerokaan minyak dan gas yang beroperasi merentas lima benua iaitu Australia, Asia, Afrika, Amerika Utara dan Eropah.
KUFPEC juga mempunyai pejabat di Malaysia iaitu di Kuala Lumpur. – TVS