KUCHING, 24 Mei: Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) menjalin kerjasama dengan Kerajaan Sarawak menerusi Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dalam memastikan penyampaian maklumat kepada masyarakat adalah tepat dan sahih.
Ketua Pengarah J-KOM, Mohd Khairuddin Othman berkata dengan kerjasama itu, kedua-dua agensi tersebut bergerak seiring demi kepentingan komuniti khususnya rakyat Sarawak.
Katanya dengan kerjasama yang terjalin antara J-KOM dengan Kerajaan Sarawak ini, mereka berupaya menyampaikan informasi yang betul serta membawa gambaran baik tentang Kerajaan Persekutuan dan khususnya Kerajaan Sarawak.

“J-KOM mesti memahami realiti di Sarawak dan memahami bahawa terdapat informasi sensitif yang perlu disampaikan.
“Justeru J-KOM menerima pandangan dan nasihat Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bahawa kita harus menjaga sensitiviti terutamanya di Sarawak ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Abang Johari di Wisma Bapa Malaysia, di sini hari ini.
Tambahnya J-KOM akan sentiasa bertukar pandangan dengan UKAS mengenai isu semasa.
Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol. – TVS