SONG, 23 Mei: Sebanyak 12 kubur lama dan baharu di dua tanah perkuburan Iban di Nanga Engkabau dan Nanga Serian, Sungai Iran di sini rosak akibat diceroboh oleh individu yang tidak bertanggungjawab.
Ketua Polis Daerah Song, Deputi Superintendan (DSP) Rowney Michael Jalak berkata, pihaknya telah menerima sebanyak dua laporan polis yang berasingan pada Rabu berhubung kejadian.
Susulan itu, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Song telah bertindak menjalankan siasatan di dua buah lokasi tanah perkburan tersebut.
Menurutnya laporan pertama diterima daripada seorang petani lelaki berusia 73 tahun dari RH Delok ,Sungai Engkabau, Song pada jam 9.34 pagi.
“Insiden kes pertama di Tanah Perkuburan Iban, Nanga Engkabau disedari oleh pengadu dan penduduk rumah panjang ketika menjalankan pengekebumian salah seorang penduduk yang meninggal dunia pada jam 6 pagi pada 20 Mei lalu.
“Hasil siasatan mendapati enam buah kubur telah diceroboh termasuk empat kubur wanita dan dua kubur lelaki yang telah digali dengan kesan lubang dan serpihan simen pecah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Rowney, kes ceroboh kubur kedua yang berlaku di Nanga Serian, Sungai Iran dilaporkan oleh seorang petani berusia 70 tahun pada jam 3.53 petang hari yang sama.
“Siasatan juga mendapati enam buah kubur (lima wanita dan sebuah lelaki) mengalami kerosakan di tanah perkuburan Iban Nanga Serian, Sungai Iran yang berusia lebih 80 tahun.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan tebukan di bahagian tepi, kaki dan kepala kubur dan serpihan simen yang dipecahkan,” jelasnya.
Setakat ini, katanya anggaran jumlah kerugian tidak dapat dipastikan kerana waris tidak dapat mengesahkan barangan yang hilang dan hanya struktur kubur yang dipecahkan di kedua-dua tanah perkuburan berkenaan.
Rowney berkata, dua kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 297 Kanun Keseksaan.
Justeru, beliau menasihatkan penduduk yang menggunakan dua buah tanah perkuburan tersebut untuk menubuhkan Jawatankuasa Tanah Perkuburan bagi memastikan tanah perkuburan mereka selamat dan terpelihara.
“Dengan adanya jawatankuasa tanah perkuburan, mereka boleh secara bergilir-gilir menjalankan pemeriksaan dan pemantauan bagi memastikan keselamatan di dua tanah perkuburan itu,” tambah Rowney.-TVS