SEOUL, 22 Mei: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg meneruskan agenda lawatan ke Korea Selatan dengan menghadiri sesi taklimat mengenai projek Sarawak New Energy Hub dan H2biscus oleh pelabur-pelabur Korea Selatan di Hotel Lotte di sini, hari ini.
Abang Johari yang tiba pada kira-kira 10 pagi diiringi Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Datu Dr Abdullah Zaidel.
Kehadiran Premier Sarawak disambut Ketua Pegawai Eksekutif Samsung E&A Namkoong Hong, Ketua Pegawai Eksekutif Lotte Chemicals Lee Hunki dan Ketua Pegawai Eksekutif Korean National Oil Corporation (KNOC) Kim Dongsub.
Turut hadir Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Tan Sri Datuk Amar Aziz Hussain, Pengurus Besar SEDC Datu Abdul Hadi Abdul Kadir dan Ketua Pegawai Eksekutif SEDC Energy Robert Hardin.
Taklimat disampaikan oleh Naib Presiden Samsung E & A Park Cheonyong, Naib Presiden Kanan Lotte Chemical Kim Yonghak dan Naib Presiden Kanan Korea National Oil Company Jang Jinhwan.
Sarawak New Energy Hub merupakan usaha kerjasama antara SEDC Energy (SEDCE) dan syarikat pelabur dari Korea Selatan Samsung E&A, Lotte Chemical dan Korea National Oil Company (KNOC). – TVS