PADAWAN, 21 Mei: Pesta Sungai Kampung Simpok 2024 yang mempamerkan warisan budaya Bidayuh Bisapug kembali memeriahkan tebingan sungai Kampung Simpok di sini, pada 25 Mei ini.
Pegawai Promosi, Denis Aman berkata, pesta tersebut yang mula dianjurkan pada tahun 2017, kini menjadi acara tahunan sebelum sambutan Gawai dimeriahkan dengan perarakan rakit.
Menurutnya, pada tahun ini tujuh buah rakit mewakili enam zon komuniti di Kampung Simpok termasuk Kampung Mundai akan menyertai perarakan rakit itu.

“Perarakan rakit ini akan bermula di hulu sungai dan berakhir di tebingan sungai Kampung Simpok yang mengambil masa kira-kira 45 minit bergantung kepada paras air sungai.
“Apa yang menarik mengenai pertandingan rakit ini ialah ia akan disertai penari yang menggunakan pakaian tradisional kaum Bidayuh dan menceritakan asal usul dan kaum Bidayuh Bisapug,” katanya kepada TVS hari ini.
Katanya, turut memeriahkan lagi pesta itu ialah pertandingan memancing botol, pertandingan lumba kaki keruak, perlumbaan berjalan mengikat kaki suami/isteri, pertandingan tarik tali, karaoke dan cabutan tiket bertuah.
Majlis itu akan dihadiri Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn.
Sehubungan itu, orang ramai dijemput hadir bagi sama-sama memeriahkan lagi pesta  itu yang akan memeriahkan lagi rambutan Gawai tahun ini. -TVS