KUCHING, 21 Mei: Malaysia meraih kadar pertumbuhan ekonomi sebanyak 4.2 peratus pada suku pertama tahun 2024.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ia melebihi anggaran kebanyakan pihak yang mengunjurkan maksimum 3.9 peratus.
“Maka dalam suasana ekonomi dunia yang belum menentu hampir kesemua sektor telah melonjak dan memangkin pertumbuhan suku pertama 2024. Umpamanya, pasaran buruh berkembang 2.1 peratus menjadikan jumlah tenaga kerja meningkat kepada 16.4 juta.
“Kadar inflasi yang membimbangkan dan ini bermakna kos barangan meningkat tetapi kadar inflasi ini masih kekal rendah pada 1.7 peratus ketimbang 1.6 peratus pada suku keempat 2023. Empat bulan pertama 2024 kita catat jumlah dagangan Malaysia berkembang 8.3 peratus kepada RM912.27 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan Perutusan Negara di ibu negara malam ini.
Tambah beliau, Malaysia juga kekal mencatat lebihan dagangan berjumlah RM41.83 bilion malah telah mencapai paras FBM KLCI pasaran saham melepasi 1,600 mata dan nilai pasaran ekuiti domestik mencecah angka tertinggi dalam sejarah sebanyak RM2 trilion. – TVS