KUCHING, 21 Mei: Kerajaan Persekutuan bertekad untuk menoktahkan kemiskinan negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, hasrat itu dilihat boleh dicapai melalui pelbagai inisiatif yang diperkenalkan oleh Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) untuk meningkatkan pendapatan rakyatnya.
“Kita serius untuk menggubal dasar gaji progresif yang melibatkan sektor swasta kerana anak-anak muda bertanya, graduan bertanya apa nasib mereka di sektor swasta.
“Mereka dikenakan dasar gaji progresif beserta dengan penyasaran gaji baharu sektor awam untuk beri mesej jelas kepada sektor swasta supaya mencatat keuntungan tinggi, jangan meninggalkan peluang dan kedudukan pekerja, sama ada peringkat bawah atau golongan profesional,” katanya dalam Perutusan Negara malam ini.
Pada 1 Mei, Anwar mengumumkan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang baharu akan membabitkan kenaikan gaji lebih 13 peratus bermula 1 Disember tahun ini. – TVS