IRAN, 20 Mei: Presiden Iran, Ebrahim Raisi dilaporkan meninggal dunia dalam nahas helikopter yang berlaku pada Ahad.
Menurut jurucakap kerajaan, helikopter tersebut dipercayai telah terbakar sepenuhnya.
Terdahulu, operasi mencari dan menyelamat secara besar-besaran giat dijalankan selepas sebuah helikopter yang membawa Ebrahim Raisi, terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di kawasan pergunungan di Barat Laut Iran.
Juga turut terkorban, Menteri Luar Iran, Hossein Amir Abdollahian.
Menurut Agensi Berita Republik Islam (IRNA), insiden itu berlaku pada Ahad di Hutan Dizmar antara Bandar Varzaqan dan Jolfa di wilayah Azerbaijan Timur ketika Raisi dalam perjalanan pulang dari satu majlis perasmian empangan bersama Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev.
Ketua Bulan Sabit Merah Iran, Pirhossein Koovalid memberitahu anggota penyelamat bergerak ke arah satu lokasi yang dikesan mempunyai bau bahan api.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Ahmad Vahidi menjelaskan pesawat itu melakukan pendaratan dalm cuaca buruk dan ia agak sukar untuk berkomunikasi dengan pesawat tersebut. – TVS