KAPIT, 19 Mei: Meskipun bahagian ini tidak terpilih sebagai antara gelanggang Sukan Malaysia (SUKMA) XXI 2024, fasiliti di sini tetap dibaik pulih oleh Kerajaan Sarawak.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Datuk Jefferson Jamit Unyat berkata, ini dapat dilihat apabila Stadium Tertutup Kapit menerima peruntukan di bawah Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak.
“Stadium berkenaan sudah menerima peruntukan untuk kerja penambahbaikan (seperti diumumkan pada) Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak baru-baru ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir merasmikan Majlis Larian Baton SUKMA dan Para SUKMA XXI 2024 peringkat Bahagian Kapit di Dewan Suarah Kapit, di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif SUKMA Sarawak XXI Datu Hii Chang Kee, Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Sarawak Morshidi Frederik, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datu Felicia Tan Ya Hua dan Residen Bahagian Kapit Galong Luang.
Ditanya mengenai jumlah peruntukan yang diterima, Jefferson tidak mendedahkannya namun beliau yakin ia mencukupi bagi stadium tersebut.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan DUN minggu lalu berkata, kementerian menerima peruntukan berjumlah RM381.6 juta bagi menyediakan kemudahan sukan kondusif, selamat dan standard.
Ujarnya, kerja-kerja penambahbaikan yang dicadangkan adalah Stadium Tertutup Kapit membabitkan cadangan kerja-kerja penambahbaikan Kolam Renang Kapit yang dijangka akan ditender pada Jun 2024 dan proses kerja bermula pada awal September 2024. – TVS