LIMBANG, 19 Mei: Projek pembangunan yang sudah diluluskan kerajaan perlu segera dilaksanakan demi manfaat rakyat, kata Datuk Hasbi Habibollah.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan berkata, ketika ini banyak projek yang diminta oleh wakil rakyat di Limbang sudah diluluskan dan hanya menunggu perlaksanaannya.
Ahli Parlimen Limbang itu juga berharap supaya pihak yang bertanggungjawab dapat memulakan segera projek pembangunan berkenaan.
“Projek ini sudah lama dipohon, peruntukan sudah diluluskan dan menunggu perlaksanaan sahaja,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Bazar Gawai Medamit 2024 di Dewan Terbuka Tamu Medamit di sini malam tadi.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Residen Limbang Yunus Tambi dan Wali Kota Majlis Daerah Limbang Kaunselor Sufian Mohat.
Tambah Hasbi, beliau dan wakil rakyat lain di Limbang tidak pernah jemu memohon kepada kerajaan agar lebih banyak projek pembangunan dilaksanakan di sini.
“Usaha tersebut dijalankan secara berterusan kerana kita memahami keperluan rakyat di sini,” katanya. -TVS.