KUCHING, 19 Mei: Kerajaan Sarawak komited membantu golongan ibu tunggal di sini menerusi pemberian bantuan dan geran memulakan perniagaan kepada mereka yang layak.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, bantuan itu disediakan berikutan para ibu terutama yang ditinggalkan suami tanpa nafkah sering berdepan cabaran ekonomi.
Kata Fatimah, pelbagai kes kesusahan dihadapi golongan ibu tunggal yang memerlukan bantuan segera kementeriannya.
“Ada beberapa kes, ibu datang memberitahu kami yang dia ditinggalkan suaminya tanpa diceraikan.
“Anak juga berada di bawah jagaannya tanpa nafkah, jadi para ibu ini terpaksa membesarkan anak tanpa pendapatan.
“Wanita seperti ini yang perlu dibantu dan di sini kerajaan (Sarawak) memainkan peranan mereka melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Ibu 2024 yang dianjurkan secara bersama oleh Persatuan Masakan dan Kuih-Muih Sarawak dengan Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak di sini hari ini.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Fauziah Mohamad Sanusi, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Pegerusi Persatuan Masakan dan Kuih Muih Sarawak, Zaiton Istiar Hussain Khan.
Sementara itu Fatimah memaklumkan, Kerajaan Sarawak melalui kementerian diterajui beliau menyediakan pelbagai jenis bantuan antaranya Bantuan Ibu Bersalin, Endowment Fund Sarawak serta Subsidi Yuran Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak.
“Melalui Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak pula, Kerajaan Sarawak memberikan Bantuan Ketua Isi Rumah Wanita Sarawak (KIRWaS) iaitu bantuan perniagaan berjumlah RM500 yang menyasarkan ketua isi rumah wanita dan/atau ibu tunggal selain menyediakan geran perniagaan berjumlah RM2,000 di bawah Geran Modal Pemerkasaan Wanita Sarawak,” katanya.-TVS.