KUALA LUMPUR, 18 Mei: Kerajaan Sarawak menjangkakan pendapatan tahunan wilayah itu akan mencecah RM16 bilion tahun ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak baru – baru ini, pendapatan rasmi yang dibentangkan bagi suku pertama 2024 mencapai RM4.796 bilion.
Kata Abang Johari, jangkaan itu mampu dicapai berdasarkan tempoh tahun ini yang masih panjang.
“Itu pendapatan suku pertama,kita andaikan RM4 bilion didarab dengan empat suku, berapa jumlahnya, anda (pelajar – pelajar), kiranya sendiri,” katanya.
Abang Johari berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Diskusi Belanjawan Ekonomi Sarawak anjuran Persatuan Anak Sarawak Universiti Malaya (UM) di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi dan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Pada tahun lepas, pendapatan Sarawak mencecah RM13.3 bilion yang merupakan angka tertinggi pernah dicatatkan negeri ini.
Jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak RM1.4 bilion berbanding RM11.9 bilion pada 2022.
Sementara Abang Johari berkata, selain meningkatkan pendapatan dengan menggunakan peruntukan undang – undang, Sarawak juga mampu menjana pendapatan menerusi sektor ekonomi baharu yang dipelorinya. – TVS