KUCHING, 18 Mei: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kakus telah menjadikan enam buah sekolah di kawasan luar bandar itu sebagai ‘anak angkat’ kata, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Ugah Embas.
Menurut beliau inisiatif PPB Kakus dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) itu bertujuan untuk mempromosikan kecermelangan akademik dalam kalangan pelajar sekolah berkenaan.
“Melalui program anak angkat ini, cawangan itu bekerjasama dengan sekolah-sekolah terbabit dalam penganjuran terutamanya, kelas tuisyen dan ceramah motivasi.
“Ia juga menjalinkan kerjasama yang erat dengan PIBG dalam mendapatkan ibu bapa untuk lebih terlibat dengan pendidikan anak-anak mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Makan Malam Pra-Gawai Dayak PBB Cawangan Kakus, di Bintulu semalam.
Terdahulu, setiap sekolah terbabit menerima geran RM5,000 bagi menyokong aktiviti pelajar di sekolah tersebut.
PAda majlis sama, beliau turut menyampaikan geran sebanyak RM30,000 kepada jawatankuasa penganjur Gawai Dayak serta RM20,000 kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram, Datuk Jefforson Jamit.
Dalam pada itu, Uggah turut memuji Cawangan PBB Kakus kerana telah memainkan peranan aktif dalam Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini.
“Cawangan itu dengan 16 cawangan kecilnya telah bekerja keras dalam semangat GPS sebenar “Segulai Sejalai”,” ujar Uggah.
Turut hadir, ADUN Selangau Edwin Banta dan ADUN Katibas, Lidam Assan. – TVS
Ikuti Channel WhatsApp TVS agar tidak terlepas berita terkini. Klik di sini!