SARATOK, 17 Mei: Seorang lelaki warga emas yang tidak balik ke rumah selepas keluar memancing semalam, ditemukan lemas di sungai Kelik Jabey, Jalan MPOB Sesang, Kabong, di sini, hari ini.
Mangsa dikenali Mersat Bayang,72, memancing seorang diri di sungai berkenaan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam 1.52 tengah hari sejurus itu menggerakkan Balai Bomba dan Penyelamat(BBP) Saratok ke lokasi kejadian.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) semalam gagal menjumpai lokasi mangsa.
“Pencarian disambung semula pagi ini. Pada jam 9.20 pagi pihak bomba telah menerima maklumat dari penduduk kampung bahawa mayat mangsa telah dijumpai di kawasan sungai pada jam 9 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, anggota bomba telah bergerak kelokasi dengan menggunakan sebuah bot Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Radius penemuan mangsa dari Pos Kawalan yang dibuka dilokasi terakhir mangsa dianggarkan lebih kurang dua kilometer.
“Mayat mangsa telah diserahkan pada pihak bagi tindakan seterusnya dan identiti mangsa telah disahkan merupakan mangsa yang dilaporkan oleh keluarga mangsa,” jelasnya. – TVS