MEKAH, 17 Mei: Seramai 40 orang Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS) membantu para jemaah dalam memberikan pemahaman serta penghayatan daripada segi rukun dan perkara wajib haji bagi membolehkan mereka dapat menunaikan ibadah dengan tertib dan sempurna.
Pengarah Operasi Bimbingan, Shahrin Awaluddin berkata pasukan bimbingan merupakan satu pasukan yang penting untuk membantu jemaah haji dalam menunaikan ibadah Rukun Islam ke-5 itu.
“Pertama untuk memastikan jemaah haji dapat menyempurnakan ibadah haji, itu merupakan fungsi utama pasukan bimbingan haji.
“Kedua, untuk menyempurnakan ibadah haji, sudah tentu banyak persoalan-persoalan tentang hukum, jadi pasukan ini yang terdiri daripada pakar rujuk, guru-guru agama termasuk kaunselor akan menjawab persoalan dan isu yang mengganggu jemaah untuk menyempurnakan ibadah haji,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, baru-baru ini.
Menurutnya lagi, pembimbing yang telah dilantik terlebih dahulu perlu menjalani proses tertentu termasuk pentauliahan, selain dengan syarat pernah menunaikan ibadah haji.
“Kita juga latih pembimbing untuk memberi kursus dengan baik kerana jemaah haji Malaysia terdiri daripada pelbagai latar belakang. Selain itu, pembimbing juga perlu celik IT,” tambahnya lagi.
Dalam pada itu Shahrin berkata pasukan PIHTAS turut dibantu oleh tiga orang pakar rujuk yang merupakan ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji (TH-JAKIM).
“Pada tahun ini, salah seorang pakar rujuk adalah Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir. Kita ada juga lapan orang kaunselor unit kaunseling, lima orang di Mekah dan tiga di Madinah,” katanya lagi. -TVS