KUCHING, 16 Mei: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi menerima kunjungan hormat daripada Undang Luak Johol, Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan, Datuk Muhammad Abdullah, di Astana Negeri, hari ini.
Muhammad tiba di sini kira-kira jam 10.40 pagi bersama isterinya, Tok Puan Faridah Hanom Jaafar, sebelum pertemuan diadakan selama satu jam.
Kunjungan berkenaan bertujuan memenuhi undangan Tun Dr Wan Junaidi sekali gus sesi perkenalan kedua-dua pemimpin itu sejak Tun Dr Wan Junaidi dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada 26 Januari lalu.
Muhammad yang mengadakan lawatan rasmi ke Sarawak selama sehari tiba di sini pada Rabu, jam 9.20 malam dan akan berangkat pulang 9.10 malam ini.
Undang Luak Johol merupakan salah satu luak yang membentuk Negeri Sembilan dan berperanan sebagai pihak berkuasa negeri khususnya bagi kawasan Johol.
Undang Luak Johol juga mempunyai kuasa persetujuan dalam pelantikan Menteri Besar, menangguhkan pembubaran Dewan Undangan Negeri, hal ehwal agama Islam dan adat Melayu, kedudukan tanah adat dan rizab Melayu serta kedudukan istimewa Bumiputera dan kepentingan sah kaum lain. – TVS
Ikuti Channel WhatsApp TVS agar tidak terlepas berita terkini. Klik di sini!