KUCHING, 16 Mei: Hasrat Kerajaan Sarawak untuk membangunkan sebuah lapangan terbang antarabangsa baharu di sini merupakan langkah tepat untuk menjadikan wilayah ini sebagai hab pengangkutan udara serantau.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Bekalan Air) Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, beliau amat menyokong projek berskala besar itu malah katanya lokasinya pernah dicadangkan di Pantai Damai sebelum ini.
“Memang tidak disebut lokasi sebenar tapi cadangan asal ketika diumumkan dahulu (lapangan terbang baharu itu akan dibina) berdekatan Rambungan (dan) Telaga Air (yang) berhampiran dengan kawasan pentadbiran Kerajaan Persekutuan dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Penyampaian Sijil Kursus Asas Mediasi, Kursus Lanjutan Mediasi dan Konsiliasi dan Kursus Pembimbing Kemahiran Mediasi 2024 di sini hari ini.
DUN Sarawak: Sarawak rancang bina lapangan terbang antarabangsa baharu di Kuching
Ketika penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak semalam, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Kerajaan Sarawak merancang untuk membangunkan sebuah lapangan terbang antarabangsa baharu di Kuching bagi menyokong pertumbuhan industri penerbangan.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai berkata, penyelidikan oleh pakar sebelum ini juga mendapati kawasan itu sesuai untuk dibina lapangan terbang.
Beliau menambah, prasarana asas di situ termasuk Jalan Pehin Sri Adenan Satem yang dulunya dikenali sebagai Jalan Pusat Pentadbiran Persekutuan (FAC) yang juga laluan utama menuju ke situ juga telah 80 peratus siap.
“Sekarang hanya perlu pembinaan jambatan bagi menyeberangi Sungai Rambungan untuk sampai ke tapak yang telah dicadangkan,” katanya. -TVS.