KUCHING, 16 Mei: Siol International Mountain Bike Challenge (SIMBC) 2024 edisi ke-21 kembali pada 21 hingga 23 Jun ini di Trek Siol MTB di sini menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM74,000.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, seramai 250 hingga 300 peserta disasarkan menyertai cabaran tersebut termasuk beberapa orang atlet Sukan Malaysia (SUKMA) berikutan trek berkenaan merupakan salah satu ‘venue’ bagi acara berbasikal pada temasya berkenaan kelak.
Abdul Karim optimis SIMBC bakal menjadi arena pemanas badan bagi atlet-atlet SUKMA untuk membiasakan diri dengan trek sama yang digunakan untuk acara berbasikal BMX dan Mountain Bike.
“Tapak tempat SIMBC ini juga akan digunakan untuk sukan SUKMA mountain bike series jadi kemungkinan besar negeri-negeri yang terlibat dalam temasya itu akan menghantar atlet mereka.
“Mereka juga perlu melihat bagaimana tahap gelanggang ataupun trail yang akan digunakan untuk SUKMA jadi mereka akan menggunakan peluang ini untuk membuat persiapan jadi kita menjangka 250 ke 300 pelumba akan menyertai,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Siol International Mountain Bike Challenge (SIMBC) 2024 di Kuching pada Khamis.
Tambahnya, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) akan turut membuat penambahan kategori khususnya untuk atlet SUKMA iaitu Cross-country Olympic Malaysia Closed dan DownHill Event Malaysia Closed bagi memberi peluang kepada negeri-negeri di Malaysia membuat persiapan.
Pada edisi lepas seramai 116 peserta dari luar negara iaitu peserta antarabangsa dari negara Filipina, Chinese Taipei, Thailand, Singapura, Brunei dan India telah menyertai Kejohanan Siol International Mountain Bike Challenge 2023.
Manakala seramai 57 peserta tempatan turut serta iaitu dari negeri seperti Johor, Terengganu, Sabah, Kedah, Melaka, Putrajaya dan Sarawak. -TVS