BALIK PULAU, 16 Mei: Polis melakukan siasatan lanjut berhubung kes menghina agama Islam menerusi catatan resit pembelian piza di Bayan Lepas yang tular tular hari ini.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, pihaknya mengesan hantaran itu di laman sosial X akaun @update1111 kira-kira pukul 8 pagi.
Katanya, polis sebelum itu telah menerima laporan daripada orang awam kira-kira pukul 8.46 malam semalam.
“Laporan itu mendakwa terdapat gambar tular memaparkan resit tertera ucapan menghina agama Islam yang berlaku di Kenari Avenue, Bayan Lepas.
“Hasil siasatan, terdapat satu pesanan yang diterima pada 15 Mei, pukul 3.05 petang melalui aplikasi Dominos yang mempunyai perkataan menghina di bahagian remarks/nota pada pesanan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, berdasarkan paparan resit itu, pesanan tersebut dibuat oleh individu beralamat di Lintang Sungai Ara, Sungai Ara, Bayan Lepas.
Ujar Kamarul Rizal, polis bagaimanapun meminta orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955. – TVS