KOTA SAMARAHAN, 16 Mei: Universiti Teknologi MARA (UiTM) perlu kekal sebagai institusi khas untuk Bumiputera, kata Datuk Abdullah Saidol.
Sehubungan itu beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) meminta supaya perbincangan mengenai pembukaannya untuk golongan bukan Bumiputera dihentikan.
Jelas Abdullah, polisi berkenaan penting kerana UiTM menjadi pilihan terbaik dan berkualiti untuk golongan Bumiputera yang kurang berkemampuan untuk melanjutkan pengajian tinggi.
“(Namun) selain mempertahankan hak Bumiputera, kita juga perlu buktikan mempunyai kebolehan yang setara dengan institusi lain dengan berusaha supaya UiTM mampu melahirkan graduan bertaraf dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Majlis Penangguhan Program Outreach Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Memperkasakan Mahasiswa 2024 di Dewan Jubli, UiTM Cawangan Sarawak di sini hari ini.
Sebelum ini, pada 25 April lalu sebuah portal berita kesihatan melaporkan Anggota Lembaga Program Parallel Pathway UiTM-IJN, Raja Amin Raja Mokhtar sebagai berkata, UiTM bersetuju membuka laluan kepada pelatih bukan Bumiputera mendapatkan pendidikan lanjutan bidang kardiotoraks di universiti berkenaan.
Semalam, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan tidak ada perbincangan mengenai kemasukan pelajar bukan Bumiputera ke UiTM di mana-mana peringkat kementerian mahupun Kabinet.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, isu berkenaan sengaja dijadikan polemik oleh pihak tertentu yang cuba mengganggu-gugat polisi serta objektif asal penubuhan UiTM.
Sementara itu Abdullah menambah, golongan Bumiputera tidak harus membazir masa dengan isu itu sebaliknya perlu fokuskan tenaga untuk membuktikan UiTM merupakan institusi ulung. -TVS.