Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
TVS merupakan antara media arus perdana tempatan yang berakar umbi di Sarawak dan semakin berkembang di seluruh negara. Foto, Alex Teo (TVS).

Media arus perdana tetap pilihan utama di sebalik ledakan media sosial

ByBernama

KUANTAN, 15 Mei: Media arus perdana tetap menjadi rujukan sebagai sumber berita sahih meskipun masyarakat kini terdedah dengan pelbagai informasi dek kepantasan penyebaran maklumat di pelbagai platform media sosial.

Perkara itu diakui anak jati Temerloh, Mohd Sakeri Mohd Yunus, 46, yang menjadikan media arus perdana sebagai pilihan utamanya untuk mendapatkan maklumat berkenaan sesuatu isu yang diperdebatkan dan disebarkan dalam kalangan masyarakat.

Berkhidmat di Jabatan Perhubungan Korporat di sebuah institusi pengajian tinggi di sini, Mohd Sakeri berkata kerjayanya turut menuntut dia sentiasa cakna dengan isu semasa dan memperoleh maklumat sahih daripada sumber berita yang relevan seperti Bernama.

“Misalnya perkara mengenai KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) yang diumumkan baru-baru ini, banyak maklumat bertebaran di aplikasi TikTok dengan pelbagai versi, jadi saya memang rujuk media arus perdana kerana maklumat lebih tepat.

“Peredaran zaman turut menuntut kita berhati-hati dalam menerima sesuatu berita. Masyarakat perlu sentiasa semak dan dapatkan informasi daripada sumber sahih dan tepat seperti media arus perdana yang kini juga mudah diakses di media sosial,” katanya kepada Bernama.

Bagi golongan muda Nurin Izzati Firdaus, 26, lambakan portal diibaratkan ‘cendawan tumbuh selepas hujan’ yang memerlukan masyarakat sentiasa meneliti sesuatu laporan sebelum disebarkan kepada orang ramai.

“Bagi saya tak pasti jangan kongsi. Semakan perlu dibuat sama ada daripada sumber berita atau media arus perdana yang pastinya akan melaporkan benda betul.

“Kadang-kadang banyak informasi di media sosial apabila orang muat naik kandungan untuk dapatkan tanda suka dan pengikut, jadi masyarakat harus bijak menilai. Bagi saya, saluran berita daripada media arus perdana tetap menjadi pilihan,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) Prof Datuk Dr Mohd Zawavi Zainal Abidin berkata tugas wartawan sangat penting dalam membantu mendidik masyarakat terutama generasi muda.

Justeru, beliau berkata peranan wartawan tidak seharusnya dipandang mudah kerana mereka turut menggalas tanggungjawab memberi kesedaran kepada orang ramai melalui pelaporan berita.

“Berita yang dihasilkan wartawan media arus perdana, saya lihat adakalanya bukan sahaja menyampaikan informasi tetapi juga mampu memberi motivasi serta semangat kepada pembaca.

“Saya berharap lebih banyak kesedaran dan pendidikan dapat diberikan kepada masyarakat kerana sumber berita mereka diyakini dan dipercayai,” katanya.

Bagi meraikan sumbangan pengamal media yang berperanan membentuk minda masyarakat bermaklumat selain memupuk kerjasama dan memacu perubahan positif dalam industri, sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) telah diperkenalkan sejak 2018.

Kali ini, HAWANA 2024 diadakan di Kuching, Sarawak selama tiga hari bermula 25 Mei dan mengangkat tema ‘Etika Teras Kewartawanan Mapan’ dengan kemuncak sambutan akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Mei.

Pelbagai program dirangka antaranya Persidangan Media Sarawak (SMEC) 2024 bertemakan ‘Evolusi Media dalam Era Digital’ serta program Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa merangkumi enam zon iaitu Sabah, Sarawak, Utara, Timur, Selatan serta zon Tengah yang dilancarkan pada 24 Mei ini oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

HAWANA 2024 merupakan perhimpunan terbesar wartawan Malaysia dan dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Kerajaan Sarawak manakala Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) selaku agensi pelaksana.

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939. -TVS.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan