KUCHING, 15 Mei: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Sarawak menetapkan misi untuk mengurangkan peratusan miskin tegar di kalangan warga Sarawak sebanyak 50 peratus menjelang 2026.
Menteri KPWK, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, sasaran ini adalah selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 di mana rakyat akan mengecapi status kemakmuran ekonomi serta memastikan pendapatan isi rumah mencapai pendapatan tinggi menjelang 2030.
“Misi kita yang saya amanahkan kepada jabatan di bawah kementerian kami adalah untuk membasmi kemiskinan tegar sebanyak 50 peratus daripada 17,432 kes yang dicatatkan setakat 1 Mei 2024. Kita akan pastikan menjelang bulan Jun 2026, kita akan dapat membasmi kemiskinan sekurang-kurangnya kepada 50 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita usai majlis Malam Penghargaan KPWK di Kuching pada malam Selasa.
Tambah Fatimah, satu pasukan petugas yang melibatkan agensi-agensi di bawah KPWK akan digerakkan bermula Jun tahun ini, bagi membantu dalam mencapai sasaran sifar penurunan statistik miskin tegar daripada 17,428 kes kepada 8,741 kes menjelang Jun 2026 dan seterusnya merealisasikan sasaran sifar miskin tegar menjelang 2028.
Antara yang turut hadir pada majlis Malam Penghargaan KPWK tersebut adalah Timbalan Menteri KPWK, Datuk Rosey Yunus serta lebih 1,000 warga KPWK seluruh Sarawak. -TVS