KUCHING, 15 Mei: Sarawak merekodkan pendapatan RM4.798 bilion atau 38 peratus daripada unjuran hasil RM12.749 bilion bagi tahun 2024 setakat Mac tahun ini.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata hasil tersebut disumbang oleh beberapa sumber utama termasuk cukai jualan negeri.
“Cukai jualan negeri sebanyak RM1.462 bilion, pampasan tunai sebagai ganti hak minyak dan gas sebanyak RM1.234 bilion, dividen sebanyak RM1.303 bilion terutamanya daripada pelaburan kerajaan dalam Kumpulan Syarikat MNLG, dan royalti air mentah sebanyak RM162 juta.
“Selain itu pendapatan faedah sebanyak RM304 juta menerusi resit perhutanan sebanyak RM61 juta, premium tanah sebanyak RM31 juta, pemberian dan pembayaran balik Persekutuan sebanyak RM24 juta dan sumber lain seperti royalti perlombongan, jualan air dan sewa tanah sebanyak RM217 juta,” katanya.
Berdasarkan prestasi setakat ini, kata Uggah, Sarawak yakin boleh mencapai unjuran hasil yang disasarkan untuk tahun ini. Biarpun keadaan geopolitik di peringkat global tidak menentu, sehingga boleh menjejaskan pasaran minyak dan gas, Uggah yakin keadaan itu tidak memberi kesan yang serius.
Dari segi perbelanjaan, kerajaan telah membelanjakan RM1.119 bilion atau 9.1 peratus daripada Perbelanjaan Biasa yang diluluskan setakat 31 Mac tahun ini.
Manakala sejumlah RM441 juta atau 4.8 peratus telah dibelanjakan untuk Perbelanjaan Pembangunan bagi tempoh yang sama.
“Perbelanjaan ini dijangka meningkat menjelang separuh kedua tahun ini seiring dengan kemajuan pelaksanaan program dan projek,” katanya. -TVS