Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. Foto Faitullah Morni (TVS)

DUN Sarawak: Sarawak rancang bina lapangan terbang antarabangsa baharu di Kuching

BySalasiah Safian

KUCHING, 15 Mei: Kerajaan Sarawak merancang untuk membangunkan sebuah lapangan terbang antarabangsa baharu di Kuching bagi menyokong pertumbuhan industri penerbangan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pengambilalihan syarikat penerbangan MASwings, oleh Kerajaan Sarawak akan membolehkan wilayah ini menjadi salah satu hab penting penerbangan di Asia Tenggara.

Jelas beliau menerusi sokongan rangka kerja kawal selia yang menggalakkan ketelusan, pelabuhan dan lapangan terbang, ia merupakan pemacu penting pembangunan wilayah dan integrasi ekonomi global.

“Dengan penambahbaikan komprehensif membabitkan rangkaian pengangkutan dan logistik antara mod, Sarawak bersedia untuk menjadi hab serantau yang penting untuk ketersambungan dalam ASEAN,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.

Tambah Abang Johari, perancangan Kerajaan Sarawak juga selaras dengan Wawasan ASEAN 2040 yang bertujuan untuk mewujudkan ekonomi ASEAN yang bersepadu dan kohesif.

Sementara itu ketika ditanya mengenai dana untuk membina lapangan baharu tersebut, Abang Johari berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Malaysia Airports Holdings Berhad sama ada mereka bersetuju untuk menjadi rakan kongsi.

“Lapangan terbang baharu ini kelak mampu menampung operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) yang sudah melebihi kapasitinya dan tidak cukup menampung trafik semasa.

“Bila ada lapangan terbang baharu, kita akan lihat apa yang akan dilakukan dengan lapangan terbang sedia ada, mungkin boleh menjadi lapangan terbang untuk jet peribadi,” ujarnya kepada pemberita selepas itu.

Beliau turut memaklumkan lokasi lapangan terbang baharu yang dirancang itu juga belum dikenal pasti. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan